Petik Hasil Pada Minggu Ke-5! Tanam Timun Dalam Air.

Join Telegram Islam Itu Sempurna Di Bawah

Telegram

Petik Hasil Pada Minggu Ke-5! Tanam Timun Dalam Air.

Tanam Timun Dalam Air

Idea bekas pensyarah ini pada awalnya dipandang pelik kerana ingin mengusahakan tanaman sayur-sayuran di kawasan berair atau sering dilanda banjir kilat.a

Namun akhirnya beliau berjaya membuktikan kejayaaan dengan hasil pulangan yang membanggakan daripada tanaman diusahakan di Kampung Pauh, Behrang Stesen, Perak.

Mohd Sharifudin menunjukkan tanaman timun kaedah fertigasi gantung di kawasan berair di pekarangan rumahnya..

Kreativiti Dr Mohd Sharifudin Yusop, 62, menggunakan tanah yang sentiasa ditakungi air di pekarangan rumah dengan mengusahakan tanaman timun kaedah fertigasi gantung mampu menghasilkan kira-kira 1,200 kilogram (kg) timun setiap dua bulan sekali.

Dr Mohd Sharifudin berkata, beliau mengusahakan tanaman timun fertigasi gantung sejak empat tahun yang lalu selepas bersara pilihan sebagai pensyarah kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia ( UPM) dalam bidang Antropologi Linguistik.

Beliau berkata, kawasan tanah tanaman timun kaedah fertigasi gantung hanya panjangnya 30 meter dan lebarnya pula kira-kira 25 meter adalah kawasan berair selain sering dilanda banjir kilat.

“Ini disebabkan kedudukan kawasan tanaman terbabit hanya kira-kira 100 meter dari Sungai Bernam bersempadan Perak dan Selangor.

“Pada awalnya memang orang di sini pandang pelik dengan usaha yang saya lakukan, tetapi saya mempunyai idea sendiri untuk memastikan tanaman kaedah ini mampu dilakukan walaupun di dalam air.

“Saya menggunakan tiang konkrit dan memasang pula kabel dawai di sepanjang tiang kemudian disusuli dengan saluran paip yang akan digunakan untuk siraman serta pembajaan.

“Malah saya tidak menggunakan medium tanah, tetapi menggunakan sabut kelapa yang diisi dalam polibeg kerana sabut kelapa lebih ringan sebelum menggantung 420 polibeg berkenaan pada kabel dawai terbabit, ” katanya.

Sabut kelapa yang digunakan mampu bertahan selama dua tahun, selain sifatnya yang ringan dan mudah menyerap air serta cepat menyejat air menyebabkan tanaman timun dalam polibeg mampu bertahan walaupun hanya digantung dengan tali plastik sahaja.

POLIBEG yang mengandungi medium sabut dan pokok timun digantung pada kabel dawai.

Lazimnya, bagi kaedah ini petani akan menggunakan tanah sebagai medium utama, tetapi disebabkan teknik gantung yang digunakan maka sabut dijadikan medium utama.

Ia bagi menggantikan tanah supaya bebanan polibeg dapat dikurangkan apabila tergantung pada kabel dawai berkenaan.

Walaupun beliau terpaksa mengeluarkan modal awal sebanyak RM10,000 untuk mengusahakan tanaman kaedah berkenaan namun begitu berbaloi kerana mudah dijaga dan diselenggarakan.

Dr Mohd Sharifudin yang juga kini pakar rujukan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi Projek Dokumentasi Bahasa-Bahasa Pribumi dan Sukuan berkata, beliau memilih timun sebagai tanaman utama kerana tanaman itu tidak memerlukan masa yang panjang untuk mengeluarkan hasil.

Katanya, selepas menanam biji benih, pada minggu kelima atau keenam beliau sudah dapat memetik hasil tanaman terbabit dan tanaman timun satu musim biasanya dua bulan sahaja.

“Saya mengalirkan air atau baja menggunakan saluran paip dari dua tangki secara berkala menggunakan tenaga elektrik untuk memastikan tidak berlaku lebihan air pada tanaman terbabit terutama pada musim hujan.

“Limpahan air pada bahagian bawah tanaman menyebabkan tiada serangga perosak hidup dan merosakkan tanaman terbabit sehingga saya tidak perlu menggunakan racun serangga,” katanya.

Jadi tidak hairanlah, jika setiap kali musim, beliau mampu mengeluarkan hasil tanaman timun lebih 1,000kg untuk pasaran tempatan.

Timun organik yang dihasilkan itu lebih ranggup dan tahan lama daripada timun biasa serta dijual kira-kira RM2 sekilogram.

Sumber : Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*