Anak Muda Tuai 4 Tan Hasil Daripada Tanaman Cili Gantung. Hasilnya Lumayan!
Rezeki Cili Gantung
TUMPAT: Siapa sangka usaha bakal graduan ini yang pada mulanya sekadar mencuba nasib dalam bidang pertanian iaitu penanaman cili akhirnya membuahkan hasil lumayan.
Penanaman cili menggunakan kaedah fertigasi gantung ini telah diusahakan oleh Tuan Mohd Kamarul Hisyam Tuan A Talib, di depan rumah keluarganya di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor.
Meskipun tidak memiliki pengetahuan berkaitan pertanian, Tuan Mohd Kamarul Hisyam sanggup mengambil risik0 memulakan penanaman cili di tanah seluas 0.4 hektar milik bapanya.
“Sebelum ini, saya tercari-cari aktiviti berfaedah untuk mengisi masa lapang sementara menunggu majlis konvokesyen Oktober lepas.
“Saya mendapat pendedahan mengenai teknik penanaman cili daripada rakan sebelum diperkenalkan kepada konsultan dan menghadiri kursus sehari,” katanya.
Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dengan bantuan abangnya mereka menanam 2,700 beg cili membabitkan kos RM30,000.
Menurutnya, tanaman cili berkenaan mula mengeluarkan hasil pertengahan Mac 2019 dan setakat ini jumlah tuaian sudah mencecah empat tan.
“Saya menetapkan sasaran untuk mengutip hingga sembilan tan cili. Hasil tanaman dijual kepada pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong pada harga RM6 untuk sekilogram.
“Selepas bergelar graduan nanti, saya mungkin mencari pekerjaan mengikut bidang pengajian yang diambil namun akan meneruskan usaha ini dengan bantuan keluarga,” katanya.
Sumber: Harian Metro
Leave a Reply