[Video] “Anak orang miskin ke, gelandangan saya tak tahu” – Peniaga tak fikir rugi, percaya rezeki belanja kanak-kanak
SETIAP individu pasti memiliki cara tersendiri untuk melakukan kebaikan dalam usahanya berbakti kepada masyarakat.
Apatah lagi dalam ekonomi sekarang yang semakin tidak stabil, ramai individu termasuklah golongan peniaga yang mengambil peluang untuk membantu insan lebih memerlukan.
Sebagaimana perkongsian seorang pemuda di TikTok, Yayar Awang Noh menunjukkan video sekumpulan kanak-kanak yang berkunjung ke gerainya diberi makan percuma.
Menerusi video itu dapat dilihat dia menjual nasi bersama aneka lauk pauk.
Lebih membuatkan ramai tersentuh hati apabila pemuda ini menjelaskan bahawa dia sendiri tidak mengenali kanak-kanak berkenaan yang hadir entah dari mana, apatah lagi latar belakang mereka.
Bagaimanapun, Yayar berkata jika terdapat kanak-kanak datang ke gerainya, nasi akan diberikan dan dia akan menyuruh mereka memilih sendiri lauk yang diingini.
“Nampak tak, kalau hujan mereka dah tunggu dekat lorong tu. Anak-anak dah tunggu dekat sana. Sanggup datang berpayung, hujan lebat ni sanggup datang berpayung sebab nak makan.
“Ada yang tanya saya, anak orang miskin ke, anak gelandangan ke? Saya tidak tahu. Budak-budak datang nak makan saya bagi,” ujarnya dalam video yang tular.
Menerusi video berdurasi 54 saat itu, kelihatan kumpulan kanak-kanak itu seperti sudah terbiasa dengan pemuda berkenaan sambil masing-masing memilih lauk yang dikehendaki.
Ketika itu hujan lebat tetapi mereka sanggup datang berpayung ke gerainya untuk makan.
Semakan mStar pada akaun TikTok jejaka ini mendapati, sebelum ini juga banyak videonya tular disebabkan amalan bersedekah makanan kepada kanak-kanak. Dia dipercayai berniaga di Pandan Perdana, Ampang.
Sebelum ini dia berkongsi video budak-budak kecil yang berkopiah, dikatakan baru pulang dari surau diberi makan percuma.
Dalam video tersebut lelaki ini menjelaskan bahawa dia dan kawan-kawannya akan terus belanja kanak-kanak makan tetapi menitipkan pesan supaya mereka tidak membazir.
Susulan video yang tular, rata-rata warga maya mendoakan agar amalan berkongsi rezeki ini dapat diteruskan.
Warganet juga mendoakan agar peniaga ini sentiasa dimurahkan rezeki dengan asbab bermurah hati.
“Seronok kan bila kita boleh bagi sesuatu pada orang lain. Perasaan yang tak dapat nak digambarkan. Semoga awak murah rezeki selalu dik.
“Alhamdulilah semoga dilimpah rezeki. Seronok budak-budak ni. InshaAllah mereka juga mendoakan abang.
Antara komen netizen yang mendoakan peniaga ini.
“Percayalah sampai ke tua mereka akan ingat awak dik, sampai bila-bila mereka akan cerita tentang kebaikan awak. Akak doakan awak dunia akhirat,” komen beberapa netizen.
Semoga peniaga ini murah rezeki dan bisnesnya terus berkembang serta memberi inspirasi kepada orang ramai.
Sumber : https://www.mstar.com.my/
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.
Leave a Reply