Tangan Yang Tidak Suci Taharahnya Jangan Hulurkan Kepala Yang Sujud Kepada Allah
Pernah satu ketika saya didatangi seorang ibu yang mengadukan hal anaknya. “Tolonglah ustaz… anak saya tak menjadi…”
Saya pada awalnya tidak memahami maksud beliau namun setelah dicermati akhirnya saya faham bahawa ibu berkenaan mendak wa anaknya tidak ‘menjadi’ kerana anaknya tidak termasuk dalam statistik pelajar-pelajar yang meraih 5A di dalam peperiksaan UPSR.
Saya menerangkan kepada si ibu bahawa kejayaan anak belum boleh diukur seawal usia muda itu. Lalu saya jelaskan kepadanya bahawa cara yang kita gunakan selama ini untuk mengukur kejayaan anak-anak kita adalah berdasarkan kepada persoalan “Mengapakah Allah menjadikan kita sebagai manusia di atas muka bumi ini?”
Sepaling tidak ada DUA tujuan mengapa kita dijadikan Allah di atas muka bumi ini. Yang PERTAMA adalah mencapai status perhambaan total kepada Allah dalam segenap kehidupan seperti yang ditegaskan oleh Allah s.w.t. dalam ayat 56 surah adz-Dzaariyaat,
“Tidak-Ku jadikan manusia dan jin kecuali untuk mengabdikan diri kepada Allah.”
Tujuan yang KEDUA ialah menjadi khalifah di atas muka bumi ini mengikut kehendak Allah S.W.T. seperti yang ditegaskan oleh Allah dalam ayat 30 surah al-Baqarah:
“…Sesungguhnya Aku menjadikan manusia khalifah di atas muka bumi ini…”
Ibu bapa WAJIB memastikan mereka menyediakan pendidikan agama yang cukup agar anak-anak faham dan mampu menjadi hamba Allah. Indikator pertama yang boleh kita ukur pada tahap peringkat awal perkembangan umur anak-anak ialah adakah mereka mengenal Allah dan beriman hanya Islam sahaja yang diiktiraf oleh Allah.
Ini sangat penting kerana anak-anak kita hari ini hidup dalam zaman penuh kekeliruan seperti promosi terancang dan berstrategi kesamarataan semua agama, fahaman libe ralis me.
Dari sudut syariat, indikator paling mudah untuk kita ukur ialah adakah anak kita menjaga solatnya. Adakah dikira anak kita ‘menjadi’ dengan meraih 5A walaupun ia cuai melaksanakan solat lima waktu? Begitu juga dengan akhlaknya, adakah anak kita pandai menghormati guru-guru dan ibu bapa? Berbanggakah kita mempunyai anak yang pandai akademik tetapi kontang budi pekerti?
Wira Walaupun Tanpa A
Islam tidak meremehkan kecemerlangan semua bidang dalam kehidupan termasuklah kegemilangan akademik kerana ia adalah salah satu anak tangga untuk mentadbir dunia ini. Pun begitu, bukan bermakna mereka yang tidak cemerlang tertutup peluang untuk menjadi khalifah pada posisi dan kapasitinya.
Janganlah kita menjadi ibu bapa yang baru mengenal huruf ‘A’ untuk diletakkan setentang dengan subjek-subjek yang diambil di dalam peperiksaan perdana. Cubalah letakan perbandingan dengan sebahagian orang-orang Ci na yang tidak lagi mengenal huruf ‘A’ tetapi telah sampai ke peringkat membaca ‘suasana’ untuk masa hadapan anak-anaknya.
Anak-anak mereka yang tidak banyak mendapat ‘A’ telah didedahkan dengan berbagai-bagai kemahiran hidup untuk kelangsungan hidupnya pada masa akan datang.
Saya bukan an ti kecemerlangan tetapi an ti kepada meminggirkan anak-anak yang kurang mendapat ‘A’ di dalam peperiksaan. Sekadar contoh, saya pernah menyarankan dalam kuliah-kuliah saya sekitar tempat saya tinggal bahawa menjadi kewajipan kita sebagai orang lelaki Muslim untuk menghulurkan kepala untuk digunting oleh tangan-tangan yang sama-sama bersyahadah jauh lebih baik.
Walaupun ada di antara kita yang rela membiarkan kepala yang mulia sujud tiap-tiap hari, dipegang oleh tangan-tangan yang belum tentu selesai taharahnya tatkala keluar daripada tandas.
Isunya bukan hu kum harus atau tidak bergunting di kedai bukan Islam. Namun saya ingin menarik perhatian pembaca betapa besarnya jasa tukang gunting Muslim yang sudah tentu tidak mendapat banyak ‘A’ di dalam peperiksaan. Tanpa kita sedar orang seperti mereka telah menjadi ‘wira’ di khalayak masyarakat Muslim.
Ini kerana keberadaannya di tengah-tengah masyarakat Muslim telah melepaskan tanggungjawab fardu kifayah yang melepaskan belenggu dosa dari tengkuk orang Islam yang lain. Inilah yang dinamakan menjadi khalifah dalam kapasitinya yang tersendiri.
Fahaman begini sepatutnya dihayati oleh setiap ibu bapa iaitu menjadi kewajipan utamanya adalah berusaha untuk melahirkan setiap anaknya itu sebagai khalifah, pemimpin yang berjiwa a’bid (hamba). Unggul dalam bidang masing-masing dengan faham ia tetap hamba Allah yang wajib berusaha merealisasikan segala tuntutan kehendak Allah di atas muka bumi ini.
Generasi sebegini sangat penting untuk menghapuskan pergantungan kita kepada orang lain setelah sekian lama dan dunia ini sudah sampai masanya menerima tawaran Islam untuk ditadbir oleh keadilan Islam.
sumber: Datuk Zamri Hashim, Timbalan Mufti Perak
Leave a Reply