Ibadat Atau Adat Semata-mata Timbang Rambut Bayi Yang Baru Lahir

Closeup of young man touching temples with fingers as if suffering from severe migraine, feeling sick, isolated on gray background

Join Telegram Islam Itu Sempurna Di Bawah

Telegram

Ibadat Atau Adat Semata-mata Timbang Rambut Bayi Yang Baru Lahir

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Perkataan aqiqah (العقيقة) berasal daripada perkataan al-‘Aqqu (العق) dan dari segi bahasa, bererti potong. Pada asalnya, aqiqah ialah nama bagi rambut bayi ketika lahir. Rambut tersebut dinamakan demikian kerana ia dicukur atau dipotong.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa perbuatan mencukur rambut dan menimbang nilaian rambut itu untuk disedekahkan berdasarkan nilaian perak adalah nas dan perintah Rasulullah SAW. Justeru ia adalah ibadat dan bukan semata-mata adat.

Kami nukilkan pendapat guru kami dalam kitabnya al-Fiqh al-Manhaji (2/299), katanya: Sunat mencukur rambut anak lelaki dan perempuan selepas penyembelihan aqiqah pada hari yang ketujuh dan bersedekah emas atau perak mengikut berat rambut tersebut.

Ini berdasarkan hadith daripada Saidina Ali R.A, katanya, Rasulullah SAW mengaqiqahkan seekor kambing bagi al-Hasan dan bersabda:

عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحَسَنِ بِشَاةٍ وَقَالَ: يَا فَاطِمَةُ احْلِقِى رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِى بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً، قال: فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ

Maksudnya: “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.” Ali berkata: “Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.” Riwayat al-Tirmizi (1519), Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19776), dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/529)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Ini menjadi dalil bahawa sunat bersedekah dengan nilai timbangan rambut bayi yang baru lahir dengan nilaian perak. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/115)

Ini menunjukkan sebagai tanda kesyukuran dan menzahirkan kegembiraan melalui bersedekah. Dengan cara seperti ini akan membawa keberkatan dalam hidup dan juga memukadimahkan kehidupan bayi yang baru dilahirkan dengan menghampirkan diri kepada Allah serta menyenangkan jiwa manusia dan orang ramai.

Marilah sama-sama kita mendoakan semoga anak dan zuriat kita menjadi anak-anak yang soleh. Akhirnya membentuk Baiti Jannati.

Kami memohon kepada Allah dengan doa yang diajar:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.” (Surah al-Furqan: 74)

Semoga perkongsian ini memberi serba sedikit ilmu kepada kita semua berkaitan mencukur rambut bayi yang baru lahir. Dipersilakan kongsi kepada yang lain.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*