Ayat 1000 Dinar Mempunyai Kelebihan Yang Tersendiri. Beruntung Kepada Pengamalnya
Pernahkah anda mendengar mengenai ayat 1000 dinar? Ayat ini sangat terkenal dan masyur di kalangan para peniaga. Sesetengah daripada mereka beranggapan bahawa ayat ini boleh memberikan rezeki yang melimpah-ruah jika diamalkan dan digantung pada dinding-dinding di tempat perniagaan anda.
Jika anda selalu pergi makan di warung-warung atau di restoran, pasti anda akan nampak ianya dilekatkan di dinding-dinding restoran tersebut.
Terlalu banyak versi yang menceritakan bahawa bagaimana penggunaan nama 1000 dinar ini bermula. Namun penulis mendapati bahawa kebanyakan cerita tidak dapat dikenal pasti sama ada sahih atau tidak. Malah ia juga tidak disandarkan kepada sumber yang kuat.
Soal memberikan gelaran begitu tidak lah menjadi masalah, kerana umum masyarakat Melayu lebih mengenalnya jika disebut ‘ayat 1000 dinar’.
Namun persoalan yang ingin dikemukakan di sini ialah – dalam banyak-banyak ayat al-Quran, kenapa ayat 1000 dinar dipilih?
Hal ini kerana, ayat ini banyak kelebihannya berdasarkan pesanan dan sunnah Rasulullah SAW.
Namun, tahukah anda, ayat ini lebih mustajab doanya jika dilekatkan di dalam hati juga, bukan di dinding semata-mata.
Ayat 1000 Dinar
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا، وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّـهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرا
Mafhum: Dan sesiapa yang bertawa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan-Nya).
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah at-Talaq, 65: 2-3)
Ayat 1000 dinar ini sering dibacakan dengan harapan Allah membantu memudahkan segala urusan dan menimpakan rezeki yang tidak disangka-sangka.
Selain daripada mengamalkan solat sunat Dhuha, mukmin juga dinasihatkan dan dipesan oleh Rasulullah SAW untuk membaca ayat ini dalam setiap urusan.
Ada beberapa ulama’ berpendapat bahawa, ayat ini sesuai dibacakan ketika selepas solat, malah ada yang berpendapat bahawa ayat ini sesuai pada tiap-tiap masa sebelum memulakan urusan pekerjaan harian.
Walau bagaimanapun, amalkanlah ayat ini pada bila-bila masa sahaja dengan niat supaya Allah sentiasa menunjukkan jalan buat hamba-Nya.
Kelebihan Ayat 1000 Dinar
Menurut sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Dan barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya dia akan mengadakan jalan keluar baginya dari arah yang tidak disangka”
Ayat 1000 dinar mempunyai kelebihan yang tersendiri, selain daripada dipercayai dapat memberikan rezeki yang melimpah-ruah, ia juga diyakini dapat membantu daripada segala kesulitan yang dilalui.
Sebagai seorang muslim yang percaya dan beriman kepada kuasa Allah, kita perlu percaya bahawa semua yang ada di langit dan di bumi ini berlaku dengan izin Allah, boleh disempitkan urusan dengan izin Allah dan kita boleh keluar daripada masalah yang dihadapi juga dengan kehendak Allah.
Walaupun begitu, kita wajib berusaha dan berdoa kepadaNya dengan bersungguh-sungguh agar segala urusan kita dipermudahkan oleh Allah SWT. Bacalah ayat 1000 dinar sebagai usaha kita untuk mendapat keredhaan Allah dan mendapatkan rezeki yang halal serta berkat dariNya.
Ayat 1000 dinar ini juga merupakan sebagai bukti kita bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah seperti tawakkalnya sang burung yang telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh perawi hadis yang bermaksud:
“Sekiranya kalian benar-benar bertawakkal kepada Allah SWT dengan tawakkal yang sebenar-benarnya, sungguh kalian akan diberi rezeki oleh Allah sebagaimana seekor burung diberi rezeki; ia pergi pagi hari dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi dan Ibn Majah)
KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Leave a Reply