Pelajar Sabah Cipta Sejarah Membentang Secara Maya Di Benua Afrika
KENINGAU: Dua pelajar jurusan pembuatan kek dan pastri dari Kolej Vokasional Keningau, Faiqah Afifah Binti Joannes dan Nurul Hidayah Binti Mahirin, telah berjaya diterima sebagai pembentang di persidangan maya, International African Conference on Current Studies of Science, Technology and Social Sciences, anjuran University of Abomey-Calavi (UAC) di Benin, salah sebuah negara di benua Afrika pada 27-28 Februari 2021.
Kedua-dua pelajar ini akan membentang projek mereka yang bertajuk “The Potential of Canistel, A Rare Tropical Fruit as the Main Ingredient in Ice Cream” secara langsung di persidangan tersebut. Mereka dipantau oleh Puan Syafiqah Eugene yang merupakan guru pembimbing bagi projek tahun akhir pelajar program tersebut.
Pasukan pelajar ini telah menghasilkan inovasi ais krim dengan menggunakan buah tropika yang kurang dikenali iaitu buah lemak manis atau buah kungkurad sebagai bahan utama. Justifikasi utama mereka menggunakan buah ini adalah untuk mengenalpasti sama ada perisa ini diterima dengan baik oleh pelanggan sasaran memandangkan ianya jarang digunakan sebagai bahan pembuatan makanan.
Mereka juga ingin mempopularkan buah ini yang hanya tumbuh di negara beriklim khatulistiwa. Pasukan ini mengambil keputusan untuk menghasilkan ais krim dengan perisa buah kungkurad kerana pencuci mulut ini sangat digemari ramai.
Mereka pernah memenangi pingat gangsa dalam pertandingan inovasi anjuran Universiti Malaysia Perlis pada bulan Disember 2020. Video pembentangan mereka untuk pertandingan tersebut bolehlah ditonton melalui pautan berikut: https://youtu.be/AxO2ChuuKBA
Pengarah Kolej tersebut, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, menyatakan rasa bangga dengan pencapaian kedua-dua pelajar ini beserta guru-guru yang membimbing mereka. Para pelajar KV Keningau telah membentang projek mereka di pelbagai persidangan dan pertandingan inovasi di benua Asia, Oceania dan Eropah secara dalam talian dan bersemuka. Ini merupakan kali pertama pelajar di sekolah tersebut membentang di persidangan yang dianjurkan di benua Afrika.
Sumber: sabahpost
Leave a Reply