Doa Serta Amalan Untuk Mendapat Anak

Join Telegram Islam Itu Sempurna Di Bawah

Telegram

Doa Serta Amalan Untuk Mendapat Anak

Ada sesetengah pasangan perlu mengambil masa yang lama untuk memperoleh zuriat dan ada juga yang tidak mempunyai zuriat sehingga tua disebabkan perkara-perkara tertentu. Tetapi perlu diingat bahawa semua yang berlaku itu adalah dengan izin dan kehendak ALLAH s.w.t.

Melalui perkahwinan, manusia akan dapat mengembangkan keturunan dan memenuhi ketenteraman jiwa kerana perkahwinan yang harmoni dan sesuai menurut tuntutan Ilahi, dapat memenuhi tuntutan biologi.
Malah tujuan perkahwinan juga adalah untuk mendapatkan zuriat melalui ikatan sah di sisi agama dan undang-undang. Namun, tidak semua pasangan suami isteri beroleh zuriat setelah berkahwin.

Oleh yang demikian, mereka yang beriman dan percaya dengan ketentuanNYA akan redha dengan segala apa yang terjadi terhadap diri mereka. Akan tetapi itu tidak bermakna kita hanya perlu akur dan berserah dengan apa yang terjadi tanpa berusaha bersungguh-sungguh untuk memiliki zuriat. Dalam Islam terdapat tips atau amalan yang boleh diamalkan agar dipermudahkan mendapat zuriat yang baik dan soleh.

Pertama, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t. serta berdoa dengan membaca ayat 38, surah Ali-Imran yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa.”

Al-Imam Al-Samarqandi meriwayatkan bahawa Nabi Zakaria a.s pernah merasakan baginda tidak akan mendapat zuriat sehinggalah baginda melihat anugerah ALLAH s.w.t. Maka baginda meyakini bahawa ALLAH berkuasa mengurniakan baginya anak. Tambahan pula, baginda memegang amanah menjaga kunci rumah Qurban yang diwarisi turun-temurun. Keturunan dalam ayat ini bermaksud anak yang sihat sejahtera dan berakhlak.

Kedua, bersangka baik dengan ALLAH s.w.t serta berdoa dengan ayat 89, surah al-Anbiya yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.”

Ayat ini juga berkenaan dengan kisah Nabi Zakaria a.s. untuk memperoleh anak yang baik bagi menyambung zuriatnya.Amalkan membaca doa ini bersama doa dalam surah Ali-Imran tadi untuk mendapat zuriat. Selain itu berikhtiarlah dengan perkara-perkara yang dibenarkan syarak. Pasangan suami isteri juga dinasihatkan supaya memperbanyakkan sedekah, puasa sunat dan qiamullail untuk mendapat anugerah ALLAH s.w.t. yang hebat ini.

Bagi ibu yang mengandung, persediaan rohani dan adab penting semasa mengandung bagi menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan samada baik atau sebaliknya.

Untuk mendapat anak yang baik dan soleh, terdapat amalan yang patut diamalkan oleh kedua-dua ibu bapa anak itu sendiri, iaitu:

1. Memperbanyakkan taubat dan istighfar

Ibu bapa yang banyak melakukan taubat dan istighfar, ALLAH s.w.t. sentiasa mengasihi dan merahmati kedua-duanya dan juga segala isi dalam rumahtangga termasuk anak dalam kandungan.

2. Berpuasa sunat

Khusus untuk suami, banyak berpuasa sunat atau sekurang-kurangnya semingu dua kali atau sehari pada hari Isnin dan Khamis atau salah satu daripada hari-hari berkenaan atau pada hari-hari putih (13, 14 dan 15 bulan Hijrah). Perlu diingatkan, amalan puasa sunat cuma digalakkan dilakukan oleh suami atau bapa (bagi anak) sahaja seperti mana dilakukan oleh Nabi Zakaria a.s. Bagi ibu, sekiranya tidak memberi kesan kepada kesihatan bayi dalam kandungan bolehlah diamalkan.

3. Tidak bercakap yang sia-sia

Ketika isteri sedang mengandung, suami seboleh-bolehnya tidak bercakap yang sia-sia, lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan dosa seperti mengumpat, menfitnah dan sebagainya. Sebaliknya, basahilah lidah dengan berzikir dan bertahmid atau bercakap yang mendatangkan faedah.

4. Banyak berdoa

Sentiasa berdoa agar ALLAH s.w.t. mengurniakan anak yang soleh atau solehah. Sekurang-kurangnya setiap lepas sembahyang, bacalah doa khusus bagi ibu yang sedang mengandung.

5. Banyak membaca al-Quran

Secara umumnya, elok membaca al-Quran dengan semua surah, tetapi di sini ustazah mengkhususkan surah-surah yang dibaca serta kesannya.

  • Surah al-Fatihah – Untuk menerangkan hati dan menguatkan daya ingatan
  • Surah Maryam – Untuk memudahkan ibu bersalin dan memperolehi anak yang sabar dan taat.
  • Surah Luqman – Untuk memperoleh anak yang cerdik akal dan cerdik jiwa.
  • Surah Yusuf – Untuk memperoleh anak yang cantik rupa dan cantik akhlak.
  • Surah Hujurat – Untuk memperbanyakkan susu ibu da dan anak bersifat berhati-hati
  • Surah Yaasin – untuk ketenangan hati dan anak tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang mengajak kepada maksiat.
  • Surah Taubah – Untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat.
  • Surah an-Nahl – Untuk melahirkan anak yang berdisiplin.

Amalan-amalan untuk memperolehi zuriat

Setelah berusaha dengan perubatan moden dan kampung untuk memperoleh zuriat bahkan telah berdoa kepada Allah, namun belum memperoleh zuriat, maka kita dituntut supaya banyak bersabar dan jangan dalam keadaan tertekan. Perasaan yang tidak stabil akan mengganggu keadaan dalam diri anda dan ini akan menyukarkan lagi bagi anda berdua untuk memperolehi zuriat.

Di dalam berdoa kita disuruh menaruh harapan seratus peratus kepada Allah dan yakin bahawa Allah berkuasa untuk mengabulkan doa kita tersebut. Yang paling penting awali doa dengan pujian kepada Allah dan selawat kepada Rasulullah SAW begitu juga dalam menutup doa.

Mungkin anda semua boleh mencuba amalan di bawah ini, semoga Allah memberikan jalan penyelesaian yang terbaik untuk anda dalam penantian untuk mendapatkan zuriat.

Amalan pertama.

Selepas Fajar ataupun Solat Subuh

  • Baca Bismillah 1 kali
  • Kemudian selawat kepada Nabi Muhammad SAW 3 kali.
  • Setelah itu sujud dan baca kalimah syahadah 101 kali
  • Dalam sujud tersebut mohonlah kepada Allah apa yang kita hajatkan. (Umpamanya: “Ya Allah, kurniakanlah kepada hamba mu zuriat atau anak yang soleh yang Engkau berkati di dunia dan akhirat)
  • Kemudian tutup doa tersebut dengan membaca selawat 3 kali.

Amalkanlah cara ini baik suami ataupun isteri selama 15 hari atau teruskan jika masih belum berhasil dan jangan merasa putus asa. Sebab Allah tidak suka terhadap orang yang suka berputus asa.

Amalan kedua.

  • Suami hendaklah membaca “Ya Mutakabbir” (Allah Yang Maha Memiliki Keagungan ) sebanyak 11 kali sebelum mengadakan j1mak.
  • Isteri hendaklah membaca “Ya Awwal” (Yang tiada permulaan adaNya) 333 Kali setiap hari.
  • Isteri hendaklah membaca setiap hari “Ya Zaljalaali Wal Ikram” 11 kali kemudian tiup di dalam air dan air tersebut diminum.
  • Suami isteri hendaklah membaca surah Yusuf / surah Maryam setiap hari.

Amalkanlah dengan penuh harap agar dimakbulkan oleh Allah SWT akan zuriat yang baik dan mendapat rahmat daripada-Nya.

Share ilmu ini utk peringatan semua.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Selamat Beramal.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*